Aqiqah Mudah

Hukum Melakukan Aqiqah

Hukum melakukan Aqiqah adalah sunnah Muakkad iaitu amalan sunnah yang diberi keutamaan untuk dilaksanakan.

Ini berdasarkan hadis dari Salman bin ‘Amir Adl-Dlabiy dimana beliau berkata : Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Tiap-tiap anak itu ada ‘aqiqahnya. Maka sembelihlah binatang ‘aqiqah untuknya dan buanglah kotoran darinya (cukurlah rambutnya)”. [HR. Bukhari juz 6, hal. 217]

عَنْ سَلْمَانَ بْنِ عَامِرٍ الضَّبِيّ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ ص يَقُوْلُ: مَعَ اْلغُلاَمِ عَقِيْقَةٌ فَاَهْرِيْقُوْا عَنْهُ دَمًا وَ اَمِيْطُوْا عَنْهُ اْلاَذَى. البخارى 6: 217

Walaupun hukum melakukan Aqiqah adalah sunnah Muakad, ia bergantung kepada kemampuan ibu bapa tersebut untuk menjalankan Aqiqah. Islam tidak memaksa setiap ibu bapa yang mendapat bayi untuk membuat Aqiqah. Jika ibu bapa tersebut mampu mengeluarkan belanja untuk membeli binatang dan membuat majlis, mereka akan memperoleh ganjaran yang besar jika melaksanakan Aqiqah.

Beza Aqiqah dan Korban

Sesetengah daripada kita keliru perbezaan Aqiqah dan Korban. Walaupun kedua-dua ibadat ini melibatkan penyembelihan haiwan ternakan, terdapat perbezaan tujuan dan masa ibadat ini dilakukan.

Aqiqah dilakukan kerana menyambut kelahiran bayi manakala Korban dilakukan bermula 10 Zulhijjah hingga 13 Zulhijjah bulan Islam iaitu semasa Hari Raya Aidiladha ( Hari Raya Haji ).

Daging ternakan aqiqah dimasak dan orang ramai atau kenalan rapat dijemput untuk hadir ke kenduri Aqiqah. Boleh juga masakan tersebut diedarkan sahaja kepada jiran, pusat tahfiz atau anak yatim tanpa diadakan majlis. Manakala Korban dilakukan sebagai satu pengorbanan harta di jalan Allah dimana daging ternakan diedarkan segar kepada masyarakat sekitar terutama fakir miskin.

Maksud Aqiqah

Apabila kita membincangkan maksud Aqiqah, ia perlu dilihat dari 2 sudut iaitu dari segi bahasa dan istilah Syara’.

Dari sudut bahasa, Aqiqah berasal dari perkataan bahasa arab yang membawa maksud potongan. Dari perkataan lain Al-Aqiq ia membawa maksud rambut yang tumbuh di kepala bayi yang baru dilahirkan. Menurut Imam Syaukani, Aqiqah membawa maksud sembelihan untuk bayi.

Aqiqah menurut istilah Syara’ adalah sesuatu (haiwan ternakan) yang disembelih ketika anak yang dilahirkan.

Scroll To Top